Syeikh Syamsuddin as-Sumatrani selain terkenal dengan
tambahan di hujung nama oleh para penulis barat dan tempatan dengan
‘Sumatrani’, juga dikatakan beliau berasal dari Pasee. Tanggal dan tempat
kelahiran beliu belum diketahui dengan pasti.
Tanggal wafatnya ada dicatatkan oleh Syeikh Nuruddin
ar-Raniri, yaitu pada malam Senin, 12 Rejab 1039 H/1630 M.
Awal pendidikannya secara terperinci juga belum diketahui,
hanya diperkatakan bahawa beliau adalah murid Syeikh Hamzah al-Fansuri. Ada
juga pendapat menyebut bahwa beliau pernah belajar daripada Sunan Bonang, yaitu seorang Wali Allah di tanah Jawa.
Walaupun Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah musuh paling
ketat bagi Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatrani, namun
dia tetap mengakui keulamaan Syeikh Syamsuddin as-Sumatrani itu, sebagaimana
beliau tulis, "Syahdan pada masa itulah wafat Syeikh Syamsuddin ibnu
Abdullah as-Sumatrani pada malam Senin 12 Rejab pada tahun 1039 tahun (Hijrah).
Adalah Syeikh itu alim pada segala ilmu, dan ialah yang termasyhur
pengetahuannya pada tasawuf dan beberapa kitab yang ditaklifkannya".
Aktivitas penulisan pengetahuan keislaman di Aceh memang
dimulai oleh Syeikh Hamzah al-Fansuri, yang dilanjutkan oleh Syeikh Syamsuddin
as-Sumatra-i sebagai muridnya, memang diakui oleh semua penulis.
Apa saja yang ditulis oleh Syeikh Hamzah al-Fansuri adalah
senada dan seirama dengan tulisan-tulisan Syeikh Syamsuddin as-Sumatrani
terutama dalam pembahasan mengenai Martabat Tujuh.
Perbahasan pengetahuan sufi yang mendalam oleh kedua-duanya
itu sebenarnya tidak pernah ditentang oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali
al-Fansuri. Bagaimanapun, kebanyakan penulis yang datang kemudian
memutarbelitkan kenyataan sejarah dan kenyataan ilmiah, bahawa mereka
mengatakan Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri adalah memihak kepada Syeikh Nuruddin
ar-Raniri menghentam Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatrani
Dari maklumat ini, khas perbicaraan Martabat Tujuh dimulai
dari Syeikh Hamzah al-Fansuri, turun kepada Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i,
turun kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, turun kepada Syeikh Faqih
Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi, dan lain-lain. Kemudian kebelakangan
disokong oleh beberapa orang ulama Asia Tenggara lainnya.
Antaranya, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani di beberapa
halaman Siyarus Salikinnya, bahkan beliau mengiktiraf karya-karya Syeikh
Syamsuddin as-Sumatra-i, yang beliau kategorikan ke dalam ajaran tasauf
peringkat Muntahi (peringkat tinggi).
Ada dua karya Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i yang disebut
oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam karya besarnya itu, kedua-dua kitab
itu ialah Jawahirul Haqa-iq dan Tanbihut Thullab fi Ma‘rifatil Malikil Wahhab.
Tulisan yang ada persamaan dengan karya Syeikh Hamzah
al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i mengenai Martabat Tujuh juga
dilakukan oleh Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari sangat jelas dalam dua buah
karyanya, iaitu Ad-Durrun Nafis dan Majmu’ul Asrar.
Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga tidak membantah
tetapi beliau menjelaskan rumus-rumus perkataan sufi yang bercorak syathahiyat
itu di dalam karyanya Manhalus Shafi fi Bayani Ramzi Ahlis Shufi dan sebuah
lagi karya beliau mengenai tasauf yang tidak sempat beliau beri nama judul.
Tasauf yang tidak berjudul itu sampai sekarang hanya ditemui
dua salinan saja, sebuah tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan
Negara Malaysia dan sebuah lagi koleksi peribadi penulis.
Walau pun demikian hebatnya, Syeikh Nuruddin ar-Raniri dalam
beberapa buah karangannya memandang sesat, zindiq dan lain-lain terhadap Syeikh
Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Namun tidak semua ulama
dunia Melayu sepakat dengan pandangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu.
Selain ulama-ulama yang tersebut di atas dengan karakternya
yang tersendiri, ada lagi ulama yang berasal dari Aceh yang bersifat berdiri
sama tengah dalam memberikan penilaian dan pandangan. Beliau ialah Syeikh
Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh, seperti beliau jelaskan dalam karyanya
Bidayatul Hidayah.
Katanya, "adapun pada berlajar Martabat Tujuh itu tiada
wajib menuntut dia. Lagi pula tiada ada ahlinya pada masa ini. Maka sayugianya
ditinggalkan kerana tiada kita ketahui akan ertinya, dan terkadang menyalahi
akan syarak, maka jadi membawa membinasakan. Kerana beberapa kitab orang yang
dahulu-dahulu ditinggalkan kerana tiada ada ahlinya pada mengajarkan dia dan
menguraikan maknanya di dalam tanah Arab, seperti Mekah dan Madinah, dan lain
daripada kedua-duanya. Sebab ilmu itu sudah mati".
Perkataan Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin itu
dijelaskan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani pada taqrir di bahagian kitab Bidayatul
Hidayah itu, kata Syeikh Ahmad al-Fathani, “Martabat Tujuh, yakni dibicara akan
dia itu haram, kerana tiada ada guru yang boleh menghuraikan maksudnya.
Maka setengah orang Jawi mendakwa akan dirinya sampai kepada
Allah s.w.t dan mengajar ia akan Martabat Tujuh. Serta menyeru ia kepada
manusia suruh mengaji Martabat Tujuh, maka iaitu dhaalun mudhillun. Dan pada
hal anak murid itu tiada mengetahui akan barang yang wajib atasnya daripada
furudhul ain.
Sebagai bukti yang cukup kuat bahawa Syeikh Syamsuddin
as-Sumatra-i adalah sebagai penyambung aktiviti dan bertanggung jawab
menyebarkan ajaran gurunya Syeikh Hamzah al-Fansuri sangat nyata pada karya
yang bercorak syarah. Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i telah mengulas atau
menjelaskan karya Syeikh Hamzah al-Fansuri berjudul Ruba’i Syeikh Hamzah
al-Fansuri. Kita telah mengenali karya penting itu melalui transliterasi yang dilakukan
oleh A. Hasymi, lengkap dengan manuskrip Melayu/Jawinya, yang diterbitkan oleh
Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1976.
Sebagaimana Syeikh Hamzah al-Fansuri berpengaruh kepada
Sultan Iskandar Muda demikian juga halnya dengan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i.
Sebarang urusan istana Sultan Iskandar Muda sentiasa menyuruh orang memanggil
Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i itu.
Demikian besar pengaruh Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i
terlukis dalam Hikayat Aceh, “Hatta maka tatkala sampailah umur Sultan Husein Syah
itu kepada 10 tahun, maka titah Raja Iskandar Muda kepada Mahkota Dailamcai,
“Panggil olehmu akan daku Syeikh Syamsuddin, dan kadhi, dan Malikul Adil, dan
Perdana Menteri, dan segala hulubalang!”.
Maka Makota Dailamcai khidmatnya serta menyembah, maka ia
pun pergi, hingga sampailah ia, lalu dijunjungkannya sabda yang maha mulia itu.
Maka sekalian mereka pun datanglah mengadap. Maka sabda Raja Iskandar Muda
kepada Syeikh Syamsuddin dan kepada sekelian mereka itu, "Ketahuilah oleh
kamu sekalian bahawa anakku Sultan Husein Syah ini, ku namai Sultan Maghal,
jikalau datang masya-Allah akan daku bahawa anakku Sultan Maghallah akan
gantiku kerajaan".
Syeikh Syamsuddin as-Sumatrani
Beberapa kitab karangan Syekh Samsuddin Sumatra-i.
- Jawahirul Haqaiq
- Risalatul Baiyin
Mulahazatil Muwahhidin ‘alal Muhtadi fi Zikrillah
- Kitabul Khirqah
- Nurud Daqaiq
- Mir-atul Iman
- Mir-atul
Mu’minin
- Syarah Mir-atil
Qulub
- Mir-atul Haqiqah
- Mir-atul
Muhqqiqin
- Risalah Jawami’il
‘Amal
- Anwarud Daqaiq
fi Kasyfi Asrarir Raqaiq
- Da-iratul Wujud
- Risalah Kasyfi
Asraril Wujud
- Bayanul Qulub
- Risalah Pada
Menyatakan A‘yan Tsabitah
- Risalah Mitsalil
Wujud
- Risalah Pada
Menyatakan Kelebihan Insan Daripada Sekalian Alam Yang Lain.
- Kasyfu Sirrir
Rububiyah fi Kamalil ‘Ubudiyah
- Risalah Masa-il
‘llmil Haqiqah
- Haqiqah as-Shufi
- Haqqul Yaqin fi
‘Aqidatil Muhaqqiqin fi Zikri As-raris Shufiyinal Muhaqqiqin
- Syarah Ruba’i
Syeikh Hamzah al-Fansuri
- Taukidul ‘Uqud
Tidak ada komentar:
Posting Komentar